KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) hari ini menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, serta Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, untuk melepaskan jawatan berikutan prestasi buruk parti itu dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17).
Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar dalam satu kenyataan berkata keputusan UMNO-BN Sabah yang hanya memenangi 6 daripada 47 kerusi merupakan isyarat jelas rakyat menolak kepimpinan sedia ada.
Menurutnya, kekalahan itu bukan fenomena mengejut, tetapi berpunca daripada kegagalan pimpinan tertinggi membaca kehendak rakyat, khususnya pengundi muda yang menuntut integriti, pembaharuan dan kepimpinan bersih.
Zulkarnain turut menegaskan bahawa keputusan di DUN Lamag memperlihatkan penolakan nyata pengundi terhadap Bung Moktar. Walaupun menang tipis dengan majoriti 153 undi, katanya kemenangan itu bukan kerana kekuatan UMNO, tetapi akibat perpecahan undi Gagasan Rakyat Sabah (GRS).
Bung memperoleh 3,908 undi, manakala calon GRS meraih 1,646 undi dan calon Bebas yang merupakan bekas pemimpin GRS mendapat 3,755 undi — jumlah keseluruhan 5,401 undi yang jauh mengatasi undi Bung jika tidak berpecah.
“Rekod keseluruhan PRN-17 menunjukkan kegagalan kepimpinan UMNO di peringkat pusat dan negeri. Rakyat Sabah telah menghukum parti yang gagal berubah, gagal mendengar akar umbi dan gagal menampilkan calon meyakinkan,” katanya.
Menurut Zulkarnain, dalam sistem politik matang, kegagalan sebesar ini sewajarnya diikuti tindakan bertanggungjawab, termasuk peletakan jawatan oleh pemimpin tertinggi parti.
Beliau menegaskan bahawa UMNO hanya mampu kembali bangkit sekiranya parti bersedia melakukan pembaharuan menyeluruh, bermula dengan perubahan kepimpinan.
“Rakyat Sabah telah menghantar mesej paling lantang melalui peti undi, mereka menolak kepimpinan yang tidak lagi relevan. Jika UMNO mahu memulihkan keyakinan rakyat, langkah utama adalah peralihan kepimpinan,” katanya.
Beliau seterusnya menegaskan bahawa Zahid Hamidi dan Bung Moktar wajar mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan sebagai tanda kebertanggungjawaban serta menghormati mandat rakyat.
Tegas G57 lagi bahawa UMNO tidak akan dapat bangkit selagi dibelenggu kepimpinan lama yang menurutnya telah ditolak secara jelas oleh pengundi Sabah.






