KU NAN DIDAPATI BERSALAH KES RASUAH BERNILAI RM2 JUTA

KU NAN DIDAPATI BERSALAH KES RASUAH BERNILAI RM2 JUTA

0
SHARE
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor...

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang turut dikenali dengan panggilan nama Ku Nan disabitkan BERSALAH oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas tuduhan MENERIMA RASUAH RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Sebelum ini pada 23 Januari 2019 Tengku Adnan yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan telah didakwa di Mahkamah telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd yang dia mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam jawapan balas membela diri ke atas tuduhan tersebut di Mahkamah sebelum ini Ku Nan menjelaskan bahawa wang berjumlah RM2 juta yang diberikan oleh Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong ialah derma politik untuk UMNO Wilayah Persekutuan bagi tujuan PRK.

Justeru, ia tidak perlu dilaporkan kepada Perdana Menteri ketika itu (Datuk Seri Najib Razak) kerana ia bukan hadiah.