RANAU: Polis menahan seorang lelaki selepas menemukan beberapa kotak rokok disyaki tidak bercukai kastam dalam Op Tiris yang dijalankan di beberapa premis sekitar daerah ini, pada Selasa.
Operasi berkenaan dijalankan Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (BKDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau hasil kerjasama serta maklumat yang disalurkan masyarakat setempat.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, pemeriksaan yang dilakukan dalam operasi itu membawa kepada penemuan beberapa kotak rokok terbabit.
Seorang lelaki yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan turut ditahan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Menurut polis, BKDNKA IPD Ranau akan terus mempergiatkan Op Tiris menerusi rondaan dan pemeriksaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di daerah berkenaan.
Mursalin turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat Ranau atas kerjasama dan keprihatinan mereka dalam membantu pihak polis menjaga keselamatan serta kesejahteraan daerah itu.
Polis pada masa sama menyeru masyarakat terus bertindak sebagai “mata dan telinga” PDRM dengan menyalurkan maklumat awal bagi membantu usaha membanteras jenayah dengan lebih berkesan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan menyalahi undang-undang boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau di talian 088-875222 dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.






