KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya berlaku kesesakan di depot tahanan sehingga mengakibatkan kematian ramai tahanan warganegara Filipina.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, menegaskan dakwaan itu “tidak benar, tidak berasas dan mengelirukan”, selain memaklumkan gambar yang tersebar bukan dari mana-mana depot tahanan di bawah seliaan JIM Sabah.
Beliau berkata semua tahanan warganegara Filipina berada dalam keadaan baik sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asal.
“Sepanjang tempoh tahanan, semua penghuni diberikan layanan dan perlindungan sewajarnya selaras dengan undang-undang serta prosedur operasi.
“Tahanan turut menerima kemudahan asas termasuk makanan mengikut jadual serta menu nutrisi yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia, selain akses rawatan perubatan apabila diperlukan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata operasi penghantaran pulang melalui laluan kapal dari Sandakan ke Zamboanga telah digantung oleh pihak berkuasa Filipina sejak Februari 2026, sekali gus menjejaskan kelancaran repatriasi.
Menurutnya, JIM Sabah kini menggunakan laluan alternatif iaitu penerbangan dari Kota Kinabalu ke Manila serta laluan laut dari Lahad Datu ke Bongao, namun pelaksanaannya tertakluk kepada persetujuan keluarga tahanan untuk menanggung kos perjalanan.
“JIM Sabah komited memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan semua tahanan terus terpelihara di samping melaksanakan proses penghantaran pulang mengikut undang-undang serta kerjasama dengan pihak berkuasa Republik Filipina,” katanya.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan mendapatkan maklumat tepat melalui saluran rasmi JIM.






