PUTATAN: Agenda pembangunan mampan serta penglibatan aktif komuniti terus menjadi teras dalam usaha meningkatkan kualiti hidup penduduk di Parlimen Putatan.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata pelaksanaan pembangunan infrastruktur dan program komuniti secara berterusan mampu mengangkat tahap sosial dan ekonomi rakyat, selain memastikan kawasan itu kekal berdaya saing.
“Kita setiap tahun menerima peruntukan RM2 juta bagi pembangunan kawasan parlimen dan dimanfaatkan sebaiknya, termasuk pembinaan kemudahan seperti padang, dewan terbuka, lampu jalan dan sistem perparitan,” katanya selepas Majlis Pecah Tanah Padang Kampung Duvanson, pada Sabtu.
Beliau berkata projek padang kampung berkenaan bernilai kira-kira RM300,000 dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan, sekali gus memberi ruang kepada pelbagai aktiviti komuniti.
Dalam pada itu, Shahelmey berkata projek Lebuhraya Pan Borneo Pakej Enam bagi laluan Ketiau–Penampang–Inanam yang dijangka siap Ogos ini akan menjadi laluan alternatif, sekali gus mengurangkan kesesakan trafik di Kota Kinabalu.
Sementara itu, beliau turut menggesa masyarakat kampung memainkan peranan sebagai “mata dan telinga” kerajaan dalam menyalurkan maklumat berkaitan isu keselamatan, infrastruktur dan kebajikan setempat.
“Kita mahu semua pihak berganding bahu memastikan kampung kekal selesa, selamat dan selari dengan arus kemodenan,” katanya selepas program walkabout Jom Ronda Skim Rondaan Sukarela Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Petagas di Kampung Sekambu.
Katanya, program sedemikian penting bagi menilai keadaan sebenar kampung termasuk isu lampu jalan rosak serta keperluan kemudahan komuniti, sekali gus memastikan tindakan segera dapat diambil pihak berkaitan.






