SHAH ALAM, SELANGOR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperoleh majoriti 20 peratus sebagai tokoh yang dipercayai menurut kajian Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Ketua Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu diekori Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperoleh 19.2 peratus.
Kajian bertajuk ‘Sentimen Masyarakat terhadap Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Malaysia’ melibatkan 2176 responden seawal usia 18 tahun dari seluruh negara yang mewakili pelbagai bangsa dan pekerjaan.
Dalam pada itu, calon Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin mendapat undi tertinggi tokoh pimpinan muda masa hadapan negara.
Sebanyak 53 peratus responden juga tidak yakin ekonomi negara dapat dipulihkan dalam masa terdekat.
Walau bagaimanapun, penghuni penjara Kajang, Datuk Seri Najib Tun Razak masih dipercayai dan menduduki tempat ketiga di belakang Muhyiddin dan Anwar.
Bekas Perdana Menteri itu mendapat undian kepercayaan 11.3 peratus dalam bancian dari 6 September hingga 5 November 2022 itu.
Beliau diikuti Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada tangga keempat (10.3 peratus) dan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad (10.2 peratus).