KOTA KINABALU, SABAH – Pengerusi Eksekutif Amanah Ikthiar Malaysia (AIM), Datuk Seri Lajim Ukin mula ‘ditidurkan’ pada tengah hari tadi di Hospital Pakar KPJ Sabah, selepas beliau dijangkiti wabak COVID-19 sejak lapan hari lalu.
Lajim, 66, yang juga merupakan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selain dijangkiti COVID-19 pada 12 Ogos lalu, beliau turut dilaporkan menghidap penyakit kronik termasuk penyakit jantung dan buah pinggang.
Menurut sumber ahli keluarga terdekat, pihak hospital terpaksa mengambil keputusan untuk ‘menidurkan’ beliau bermula tengah hari tadi susulan daripada keadaan kesihatannya yang semakin merosot.
Terdahulu, sebelum disahkan positif virus itu, Lajim sempat mengikuti rombongan lawatan kerja Ketua Menteri di Kudat.
“Sehari sebelum dimasukkan ke hospital, beliau menyertai lawatan kerja Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, ke Kudat pada 12 Ogos sebelum mengadu kurang sihat ketika berada di rumah pada sebelah malam…
“Beliau kemudian dihantar ke Hospital Gleneagles bagi mendapatkan rawatan, sebelum disahkan positif COVID-19 menerusi ujian PCR dan RTK.
“Beliau kemudiannya dihantar ke Hospital KPJ Sabah keesokan harinya bagi mendapatkan rawatan COVID-19 untuk pemantauan rapi sehingga hari ini,” kata ahli keluarga terdekat ketika dihubungi media.
Sementara itu, Ketua Bersatu Bahagian Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih ketika dihubungi media turut mengesahkan perkara itu.
“Ya, beliau kini sakit tenat akibat jangkitan COVID-19. Beliau sudah lapan hari dimasukkan ke Hospital KPJ dan baru-baru ini dia ada memaklumkan bahawa sudah sihat dan mahu pulang (ke rumah)…
“Pagi tadi jam 10 lebih kami ada ‘video call’. Memang dia sakit tenatlah,”katanya.