KES HARIAN MENCANAK NAIK, ADAKAH BENAR RAMALAN SABAH BERDEPAN BENCANA COVID-19?

KES HARIAN MENCANAK NAIK, ADAKAH BENAR RAMALAN SABAH BERDEPAN BENCANA COVID-19?

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Timbul persoalan sama ada ramalan seorang doktor pakar perunding penyakit berjangkit dari Hospital Gleneagles Kota Kinabalu di sini kian terbukti dengan kes harian positif COVID-19 semakin mencanak naik di Sabah.

Dr Timothy William dalam satu catatan di Facebook miliknya pada 15 Ogos lalu mendesak semua warga negeri ini untuk kekal di rumah dalam tempoh LAPAN (8) minggu dari catatan itu ditulis.

“Keluar hanya jika terpaksa ke kerja atau membeli barangan keperluan asas tapi tolong amalkan penjarakkan sosial, pakai pelitup muka (facemask) dan patuh semua prosedur operasi standard (SOP) walaupun telah merima vaksinasi lengkap.

“COVID-19 adalah musuh yang akan cuba membunuh kamu dan sekeluarga tanpa berperikemanusian atau belas kasihan.

“Kita akan berdepan dengan satu ‘BENCANA’ tragis yang belum pernah dihadapi dalam beberapa minggu akan datang di Sabah,” katanya.

Sumber foto dipetik daripada tangkap layar Facebook milik Timothy William…

Sejak artikel itu ditulis, trend kes COVID-19 baharu di Sabah menunjukkan kenaikan sehingga mencecah 3,376 kes pada hari ini iaitu peningkatan 902 kes dari semalam dan yang tertinggi setakat ini.

Infografik perkembangan terkini COVID-19 di Sabah setakat 24 Ogos 2021…(Sumber Foto: Command Centre Sabah)

Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata jumlah 2,130 daripada kes terbabit merupakan ‘backlog’ atau hasil keputusan saringan yang didaftar lewat.

Ini bermakna jika tahap kadar pematuhan rakyat Sabah terhadap SOP yang ditetapkan kekal, kes hanya akan bertambah setiap hari sehinggalah seluruh penduduk termasuk kanak-kanak lengkap divaksin dan imuniti kelompok (herd immunity) tercapai.

Kerajaan Negeri sedang bertungkus-lumus menyelamatkan lebih ramai nyawa dan telah berjaya memperolehi vaksin mencukupi dengan menjanjikan sekurang-kurangnya 60 peratus (60%) penduduk dewasa Sabah lengkap divaksin menjelang Oktober ini.

Khidmat ini diberikan secara percuma kepada semua warga Sabah termasuk sehingga wujud inisiatif program jangkauan untuk sampai penduduk kawasan pedalaman agar divaksin.

Namun dalam usaha begitu, masih terdapat segelintir penduduk Sabah yang berdua hati ataupun termakan dengan ideologi individu anti-vaksin.

Pada awal penularan wabak tersebut dalam negara (Mei 2020), Dr. Timothy juga telah mengingatkan bahawa beban petugas kesihatan untuk menjaga kesihatan masyarakat bukan untuk mereka pikul sendiri semata-mata.

“Sebelum menggalas tugas ini, kami (petugas kesihatan) mengambil sumpah akan berusaha membantu menyelamatkan seramai nyawa manusia yang boleh…

“Namun demikian, kami bukan barisan petugas hadapan tetapi benteng pertahanan yang terakhir (bagi negara).

“Petugas barisan hadapan yang sebenar adalah kamu (masyarakat awam) yang bertanggungjawab menjaga diri dan orang lain dari dijangkiti penyakit COVID-19 dengan pematuhan ketat kepada SOP,” katanya dalam sebuah rakaman di Youtube.