Kerajaan Negeri Pantau Rapi Situasi Banjir

Kerajaan Negeri Pantau Rapi Situasi Banjir

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) sedang memantau rapi situasi banjir di beberapa kawasan terjejas di Sabah.

Beliau berkata semua sumber yang ada telah digerakkan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bagi memastikan bantuan segera disalurkan kepada mangsa.

“Saya telah mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana untuk mengaktifkan jenteranya bagi memastikan bantuan segera disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Ketua Menteri turut menasihati penduduk di kawasan rendah dan berisiko tinggi supaya sentiasa berwaspada serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga susulan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Sementara itu, Kerajaan Negeri semalam turut menyampaikan sumbangan kepada 16 individu yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Tanjung Aru pada 18 Februari lalu.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya bersama Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah (YKS), Datuk Diyanah Abdullah di PPS Kampung Sembulan.