PITAS: Pasukan Bomba Pitas telah membantu memindahkan seramai 67 penduduk Kampung Sibaung ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Resthouse awal pagi tadi susulan kejadian banjir yang melanda kampung berkenaan.
Kejadian dilaporkan pada jam 1.16 pagi sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.
Ketua Balai BBP Pitas, PBT II Noor Jali Maslah berkata, pihaknya segera melaksanakan operasi pemindahan mangsa yang terperangkap dengan bantuan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Pasukan bomba telah melaksanakan operasi pemindahan mangsa yang terperangkap ke PPS Resthouse dengan selamat. Setelah memastikan keadaan selamat dan terkawal serta tiada mangsa lain terjejas, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.40 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mangsa yang dipindahkan terdiri daripada 10 lelaki dewasa, 32 perempuan dewasa, 10 kanak-kanak perempuan dan 15 kanak-kanak lelaki.
Operasi diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Mohd Nor Azmer Mat Shor Nasir bersama kekuatan lapan anggota menggunakan sebuah lori dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Tiada kecederaan dilaporkan dan keadaan di lokasi kini dipantau bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.






