KOTA KINABALU: Cadangan pembukaan Konsulat India di Sabah wajar diberi penjelasan yang jelas kepada rakyat, khususnya mengenai rasional dan manfaatnya kepada negeri ini, kata ADUN Dilantik, Datuk Mohamed Razali Razi.
Menurut beliau, pendirian peribadinya mudah, sekiranya cadangan itu membawa kebaikan kepada negara dan negeri, tiada sebab untuk menolaknya.
“Jika ia baik untuk negara, kenapa tidak? Kenapa kita perlu fokus kepada sentimen bahawa ia tidak relevan? Tetapi kita perlu faham kenapa,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Buffet Ramadan serta meraikan anak-anak yatim di Sabah Oriental Hotel, di sini, semalam.
Razali berkata, kebimbangan yang disuarakan sebahagian rakyat Sabah bukanlah berbentuk bantahan terhadap kehadiran warga India, sebaliknya mahukan justifikasi yang jelas.
“Rakyat Sabah mahu tahu kenapa. Bukan mereka membantah semata-mata kerana ia konsulat India, tetapi mereka mahu penjelasan. Jika ia baik, beritahu ia baik. Saya yakin kerajaan tidak akan membuka sesuatu yang tidak menguntungkan negeri,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa adalah wajar untuk rakyat mendapatkan penjelasan terperinci mengenai rasional pembukaan konsulat tersebut di Sabah.
Dalam perkembangan lain, Razali memaklumkan kerajaan sedang menggerakkan agensi berkaitan bagi membantu mangsa banjir yang melanda beberapa kawasan termasuk Pitas, Kota Marudu, Sandakan dan Paitan.
“Saya difahamkan hari ini agensi sedang dikerahkan untuk membantu. Wakil rakyat di kawasan juga akan terlibat. Ini bencana alam yang tidak dirancang. Mungkin satu ujian buat kita semua. Kita perlu bersabar dan yakin kerajaan sedang berusaha membantu,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Sabah Oriental Hotel, Herman Laurens berkata program tersebut merupakan usaha memberi kembali kepada masyarakat selepas kali terakhir dianjurkan sekitar 2016 atau 2017.
“Kali terakhir kami adakan program seperti ini sekitar 2016 atau 2017. Sebabnya mudah, kami mahu memberi kembali kepada komuniti. Apa sahaja peluang yang diberikan oleh masyarakat kepada kami, kami cuba pulangkan semula,” katanya.
Menurut Herman, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada misi pengurusan tertinggi hotel berkenaan untuk terus menyumbang kepada golongan kurang bernasib baik.

“Kami berharap pada masa hadapan dapat melakukan lebih banyak program seperti ini, mungkin lebih besar lagi. Bukan hanya satu kumpulan, tetapi lebih ramai yang memerlukan,” tambahnya.
Majlis yang meraikan kira-kira 20 anak yatim tersebut turut dihadiri Pengurusan Penjualan dan Pemasaran Sabah Oriental Hotel, Muhammad Fuad Rasul dan Jenny Larkins.






