KOTA KINABALU: Ketua UMNO Bahagian Libaran merangkap Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir tampil menyelar kenyataan Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai yang disifatkan lebih bersifat peribadi dan tidak matang terhadap kepimpinan UMNO Sabah.
Menurut Suhaimi, kenyataan Joniston yang menyerang Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin hanyalah satu cubaan mengalihkan perhatian rakyat daripada sejarah dan hakikat sebenar politik di Sabah.
“Joniston perlu ingat, beliau bukan siapa-siapa dalam politik Sabah jika bukan kerana platform Barisan Nasional (BN). Namanya mula naik bukan kerana kehebatannya, tetapi kerana kekuatan payung besar BN yang mengangkatnya melalui Parti Bersatu Sabah (PBS) ketika masih bersama BN,” katanya dalam satu kenyataan tegas hari ini.
Beliau turut mengingatkan Joniston tentang sejarah panjang PBS yang beberapa kali keluar masuk BN, khususnya pada tahun 1990, 2002 dan sekali lagi selepas kejatuhan BN pada 2018.
“Politik kamu adalah politik oportunisme. Kamu tinggalkan BN ketika ia jatuh, dan kini berbicara soal kesetiaan seolah-olah kamu tidak pernah lari,” tambah Suhaimi.
Beliau turut mempertikaikan prinsip perjuangan GRS yang menurutnya dibina atas pengkhianatan dan perebutan kuasa, bukan idealisme tulen seperti yang digambarkan.
“Krisis politik Januari 2023 membuktikan siapa yang berdiam diri menanti kemenangan sebelum memilih pihak. Ini bukan tanda prinsip, tapi strategi licik,” katanya lagi.
Mengulas kedudukan PBS dalam landskap politik semasa, Suhaimi menyifatkan parti itu kini hanyalah ‘parti serpihan’ yang sentiasa mencari tempat berlindung, sama ada di bawah BN, ataupun kini di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.
“Hari ini kamu menolak kerjasama dengan UMNO-BN kononnya atas nama prinsip. Tapi dulu, kamu yang berdiri paling depan menyambut kemenangan BN. Itu bukan prinsip, itu kepentingan,” ujar beliau.
Dalam kenyataan berkenaan, Suhaimi turut menegaskan bahawa UMNO Sabah tidak takut untuk bersendirian dalam perjuangan mereka dan lebih memilih untuk kekal setia kepada prinsip daripada terjebak dalam permainan persepsi.






