VNT Tunda Haram Ditahan Dekat Tanjung Tembungo, Rampasan Cecah RM45,000

VNT Tunda Haram Ditahan Dekat Tanjung Tembungo, Rampasan Cecah RM45,000

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) ditahan Maritim Malaysia selepas dikesan menunda pukat secara haram kira-kira satu batu nautika dari pantai berhampiran Tanjung Tembungo, Isnin lalu.

Pengarah Maritim Negeri Sabah, Laksamana Pertama Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, vesel berkenaan ditahan bot peronda agensi itu yang menjalankan rondaan dengan bantuan sistem SWASLA Sabah.

VNT terbabit dikendalikan seorang juragan bersama lima kru warga Indonesia.

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka melanggar syarat lesen di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana beroperasi di kawasan larangan.

“Sebanyak satu tan ikan campur dirampas bersama vesel dengan nilai anggaran keseluruhan mencecah RM45,000,” katanya dalam kenyataan media hari ni.

Beliau berkata, kaedah tunda tepi dalam lingkungan kurang tiga batu nautika bukan sahaja haram, malah merosakkan habitat marin, menjejaskan pembiakan ikan dan mengancam rezeki nelayan tradisional.