KOTA KINABALU, SABAH – Polis mengesahkan aksi seorang pemandu teksi merempuh TIGA (3) kenderaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) kelmarin disebabkan perasaan tidak puas hati dan marah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata suspek setelah beberapa kali dipotong barisan pelanggan akhirnya melepaskan geram yang terkumpul.
“Bagaimanapun ia disebabkan sikap suspek yang beberapa kali meninggalkan kereta di barisan menunggu untuk keluar dari luar kawasan parkir…
“Hasil siasatan mendapati kejadian bukan kali pertama berlaku dan disebabkan kereta ditinggalkan, rakan pemandu teksi lain terpaksa memotong barisan bagi mengelakkan penumpang menunggu lama,” katanya.
Menurut George lagi suspek juga seorang penghidap penyakit darah tinggi yang menjelaskan dirinya terbaring beberapa kali dalam rakaman video tular kelmarin.
“Suspek kini masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth kerana penyakit yang dihidapinya…
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.