Agihan Bekalan Vaksin COVID-19 Di Sabah Perlu Adil Dan Seimbang – Jafry...

Agihan Bekalan Vaksin COVID-19 Di Sabah Perlu Adil Dan Seimbang – Jafry Ariffin

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KOTA KINABALU, SABAH – Pengagihan bekalan vaksin COVID-19 di Sabah perlu lebih adil dan seimbang dengan jumlah populasi penduduk Sabah yang layak untuk divaksin iaitu seramai 2,758,400 orang.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin hari ini melahirkan rasa kecewa dengan kerajaan pusat kerana dilihat tidak adil dalam pengagihan vaksin di negeri Sabah, sekali gus memperlihatkan sistem pengurusan yang lemah.

Selain itu beliau turut menggesa kerajaan pusat agar mempercepatkan pemberian bekalan vaksin dan lebih telus berhubung perkara itu ekoran masih lagi ramai rakyat di Sabah yang sehingga kini masih tidak menerima janji temu vaksin.

“Sabah menjadi satu-satunya negeri yang jauh ketinggalan dalam pemberian vaksin Covid-19 berbanding negeri lain…

“Sehingga 17 Julai 2021, pencapaian pemberian dos vaksin bagi negeri Sabah hanya 13.0 peratus yang melibatkan 358,592 orang,” katanya.

Datuk Jafry Ariffin…

Menurut beliau bagi mencapai 40% daripada populasi layak divaksinasi, maka unjuran baki bekalan vaksin ke Negeri Sabah bagi bulan Julai sehingga pertengahan Ogos yang mesti diterima adalah sebanyak minimum 1,489,536 dos.

“Hanya melalui proses vaksinasi yang mampu mempercepatkan pemulihan ekonomi di negeri ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, kebergantungan ekonomi Sabah terhadap sektor pelancongan adalah tinggi.

“Namun untuk membuka semula sektor pelancongan, kita perlu mencapai sekurang kurangnya 60 peratus rakyat di Sabah berjaya divaksin…

“Sekiranya imuniti berkelompok mampu dicapai menjelang Oktober depan, pastinya pelancongan domestik boleh membangun semula dengan pantas diikuti pembukaan sempadan negara sekaligus menerima kedatangan pelancong antarabangsa,” tambah Jafry.