Wanita Bertuah Temui Berlian Tulen Bernilai Hampir RM92,000 Ketika Mendaki

Wanita Bertuah Temui Berlian Tulen Bernilai Hampir RM92,000 Ketika Mendaki

0
SHARE

ARKANSAS – Seorang wanita menemui sebutir berlian dianggarkan bernilai lebih AS$22,000 (RM91,917) di Taman Negeri Crater of Diamonds, Amerika Syarikat (AS) ketika mana sedang mendaki bersama-sama suaminya di kawasan itu.

Noreen Wredberg bersama suaminya, Michael Wredburg bertuah kerana mereka dibenarkan untuk mengambil dan menyimpan mineral berharga itu.

Memetik laporan Daily Star, Noreen terlihat sebutir objek berwarna kuning berkilau yang berada di atas tanah ketika dalam pendakian berkenaan.

“Saya tidak tahu bahawa ia merupakan berlian, namun objek itu amat bersih dan berkilau. Jadi, saya mengutipnya,” katanya.

Kemudiannya, Noreen membawa berlian tersebut kepada pihak berkuasa taman negeri yang mana disahkan bahawa ia merupakan berlian tulen.

Berlian itu bersaiz kira-kira sebutir kacang jeli dengan bentuk seperti buah pir dan berwarna kekuning-kuningan seperti lemon.

Dalam pada itu, seorang pakar berlian dan barang kemas, David Allen berkata, berdasarkan saiz, berlian yang dijumpai Noreen itu boleh dijual pada harga antara AS$20,000 hingga AS$30,000 (RM83,563 hingga RM125,344) berdasarkan kepekatan warna kuningnya.

“Semakin pekat dan cantik warna kuningnya, semakin tinggi nilainya…

“Ia adalah satu penemuan yang amat berharga dan Noreen amat bertuah kerana menemuinya,” jelasnya.