MELAKA, 15 Nov – Gelombang protes pengundi Cina yang sebelum ini menyaksikan ramai penyokong DAP berpaling arah di Sabah dan Negeri Sembilan nampaknya tidak berulang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 malam tadi.
Sebaliknya, masyarakat Cina di negeri ini dilihat kembali bersatu di belakang Pakatan Harapan (PH), dengan keputusan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini menjadi punca utama yang mengubah angin pengundian pada saat akhir.
Walaupun gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menguasai kerajaan negeri dengan majoriti selesa dua pertiga apabila menang di 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), keputusan di kawasan majoriti Cina membuktikan kubu kuat PH masih kebal.

Menjelang hari pengundian, jentera PH, khususnya DAP, dilanda keresahan. Ramai menjangkakan trend kemerosotan sokongan pengundi Cina kepada PH seperti yang berlaku di Sabah, Johor Baharu dan Negeri Sembilan akan berterusan di Melaka susulan rasa tidak puas hati terhadap keadaan ekonomi dan kos sara hidup.
Namun, percaturan politik bertukar serta-merta pada 10 November lalu sebaik sahaja perintah tahanan rumah ke atas Najib mula berkuat kuasa.
Tinjauan di media sosial, terutama di ruangan komen Facebook sejak berita itu tular, jelas memperlihatkan rasa tidak puas hati yang membuak-buak dalam kalangan pengundi Cina. Ramai yang menyuarakan kekecewaan dan menganggap kelonggaran itu mencabar prinsip keadilan serta integriti yang sering diperjuangkan selama ini.
Kemarahan di alam maya itu kemudiannya disambut pantas oleh pimpinan PH. Dalam kempen pusingan terakhir, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke secara terbuka mengajak pengundi Melaka yang tidak bersetuju dengan keputusan tersebut supaya menzahirkan bantahan mereka di peti undi.

Seruan itu ternyata menjadi. Pengundi Cina yang pada awalnya berkira-kira mahu memboikot peti undi dilihat kembali keluar mengundi beramai-ramai bagi mempertahankan empat kerusi tradisi mereka iaitu di Kota Laksamana, Bandar Hilir, Kesidang dan Ayer Keroh.
Bagi jentera BN pula, usaha MCA untuk merampas semula kerusi bandar dengan menunggang sentimen kemerosotan sokongan PH di negeri lain akhirnya terbantut. Pengundi bandar sukar memisahkan imej MCA daripada UMNO apabila timbul isu berprofil tinggi melibatkan Najib.
Bagaimanapun, di luar lingkungan kawasan bandar, BN dan PN tetap gah menguasai pentadbiran negeri. Faktor yang menjadi liabiliti di bandar bertukar menjadi kelebihan buat UMNO di kawasan luar bandar apabila penyokong tegar Melayu melihat pembelaan terhadap Najib sebagai bukti kesetiaan parti, selain faktor kestabilan pentadbiran kerajaan negeri sedia ada.
Keputusan PRN Melaka kali ini memberi isyarat jelas bahawa walaupun pengundi Cina pernah memberi amaran melalui protes senyap di negeri lain, isu integriti dan kes berprofil tinggi masih mampu menyatukan semula undi mereka dalam sekelip mata.






