KOTA KINABALU, SABAH – Foto Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor menyambut ketibaan Tun Mahathir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sekadar memberikan penghormatan kepada bekas Perdana Menteri Malaysia itu.
Menurut sumber yang rapat kepada Ketua Menteri Sabah ketika dihubungi oleh Editor SabahNews, Datuk Seri Hajiji sebenarnya menyambut Tun Mahathir atas dasar peribadi dan tidak ada kena mengena langsung dengan politik.
“Walaupun berbeza fahaman politik, tidak menjadi masalah bagi Hajiji menyambut Tun Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah sebagai tetamu kehormat yang datang ke negeri Sabah,” katanya lagi.
Tun Mahathir bersama Tun Dr Siti Hasmah tiba di Kota Kinabalu petang semalam bagi merasmikan jentera pilihan raya Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) peringkat negeri Sabah di Aeropod Kota Kinabalu.
Hari ini Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah dijadualkan akan merasmikam jentera pilihan raya Parlimen Papar di Papar.
Ketika diminta mengulas kepimpinan UMNO yang enggan namanya disiarkan berkata, Hajiji adalah seorang pemimpin yang mengamalkan pendekatan yang amat sederhana.
“Perwatakan Hajiji jelas berbeza dengan mana-mana pemimpin di Sabah…
“Siapa sahaja waima kepimpinan atau ahli-ahli pembangkang yang bertemu dengan Hajiji akan dilayan tanpa mengira fahaman politik mereka.”
“Sabah sebenarnya amat bertuah kerana memiliki pemimpin yang berwatakan seperti Hajiji…
“Tanya sahaja penduduk di Tuaran, pasti kenal keperibadian Hajiji.”
Dalam pada itu, Gabungan NGO Bebas Suara (BEBAS) dalam satu kenyataan pula berkata, pembangkang ketika ini cuba memfitnah dan memutar-belitkan foto Ketua Menteri Sabah itu.
“Fakta yang kita harus terima adalah apa yang dilakukan oleh Hajiji itu sewajarnya mendapat pujian dari seluruh rakyat di Sabah.”