Penternak Babi Skala Kecil Bakal Terima Bantuan Bekal Makanan – Jamawi

Penternak Babi Skala Kecil Bakal Terima Bantuan Bekal Makanan – Jamawi

0
SHARE

TENOM: Kerajaan Negeri akan memperkenalkan bantuan sekali beri (one-off) dalam bentuk bekalan makanan kepada penternak khinzir (babi) berskala kecil di negeri ini bagi membantu mengurangkan kos operasi dan meningkatkan pengeluaran ternakan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, bantuan itu akan disalurkan kepada penternak yang memelihara 50 ekor khinzir dan ke bawah.

Beliau berkata, langkah berkenaan dilaksanakan selepas mendapati industri ternakan khinzir sebelum ini kurang mendapat perhatian berbanding sektor ternakan lain.

Sebelum ini tidak pernah kita bagi bantuan kepada penternak khinzir kecil-kecilan. Kita bantu lembu, kambing, ayam dan ikan, tetapi industri ini terlepas pandang,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah telah diarahkan menyediakan peruntukan khas bagi melaksanakan bantuan tersebut dalam tempoh terdekat.

“Kita akan cuba usahakan supaya mereka juga mendapat bantuan daripada Kerajaan dalam bentuk makanan ternakan,” katanya.

Beliau berkata, bantuan itu penting memandangkan harga produk berasaskan khinzir seperti sinalau bakas (daging salai) semakin meningkat dan membebankan pengguna.

“Kita tahu sekarang ramai orang mengeluh kerana harga sinalau bakas sudah mencecah kira-kira RM47 sekilogram,” katanya.

Jamawi yang juga ADUN Melalap berkata, kenaikan harga turut dipengaruhi oleh kekurangan bekalan selepas kawalan pemburuan khinzir liar dilaksanakan sejak dua tahun lalu susulan ancaman penyakit haiwan.

Katanya, Kerajaan Negeri masih mengekalkan larangan pemburuan khinzir liar bagi memastikan populasi haiwan itu kembali pulih.

Dalam usaha memenuhi permintaan pasaran, beliau berkata, Kerajaan telah membenarkan enam syarikat mengimport daging khinzir dari luar negara.

Menurutnya, antara negara sumber import termasuk Denmark dan Norway.

“Setiap pengimport dibenarkan membawa masuk dua kontena dan secara keseluruhannya kira-kira 10 kontena akan masuk setiap bulan bagi memenuhi keperluan tempatan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Kerajaan tetap komited mempertahankan industri ternakan khinzir tempatan melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk bantuan makanan kepada penternak kecil.

“Mudah-mudahan apabila populasi khinzir liar semakin meningkat, kita akan dapat membuka semula aktiviti pemburuan secara terkawal, manakala industri ternakan tempatan terus berkembang,” katanya.