TAWAU – Sabah diselubungi suasana duka susulan pemergian Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin, yang dilaporkan meninggal dunia secara mengejut pada awal pagi tadi pada usia 53 tahun.
Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan menerusi satu hantaran rasmi yang dikongsikan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Allahyarham yang dilahirkan pada tahun 1973 merupakan seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berpengalaman dan telah menabur bakti yang besar kepada pasukan keselamatan serta masyarakat sepanjang perkhidmatannya.
Pemergian Allahyarham turut dirasai seluruh warga PDRM Sabah yang kehilangan seorang pemimpin yang disegani, berdedikasi dan komited dalam menjalankan amanah menjaga keselamatan serta ketenteraman awam.
Lebih menyentuh hati, Allahyarham sempat memuat naik ucapan sempena Awal Muharam dan Maal Hijrah 1448H menerusi media sosial rasmi IPD Tawau beberapa hari sebelum pemergiannya.
Dalam ucapan tersebut, Allahyarham mengajak masyarakat menghayati semangat hijrah sebagai satu perjalanan perubahan ke arah yang lebih baik berlandaskan keimanan, ketakwaan dan nilai-nilai murni. Allahyarham turut menyeru agar semangat hijrah Rasulullah SAW dijadikan inspirasi untuk memperkukuh integriti, meningkatkan keikhlasan serta terus berkhidmat dengan penuh amanah demi agama, bangsa dan negara.

Hantaran yang dimuat naik itu kini mengundang rasa sebak dalam kalangan warga maya yang menyifatkannya sebagai antara pesanan terakhir Allahyarham kepada masyarakat sebelum pemergiannya yang mengejutkan.
Menurut maklumat yang diterima, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, dijangka hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan disolatkan terlebih dahulu di Masjid As-Salam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, selain memberi peluang kepada anggota polis, rakan seperjuangan dan orang ramai untuk memberikan penghormatan terakhir sebelum dibawa pulang untuk dikebumikan di kampung halamannya di Batu 17, Sungai Gading, Jalan Apas, Tawau.
Sementara itu, ucapan takziah terus membanjiri media sosial daripada rakan seperjuangan, anggota polis serta orang awam yang mengenali Allahyarham dan pernah berurusan dengannya sepanjang perkhidmatan beliau.
Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya kontinjen Sabah yang kehilangan seorang pegawai kanan berpengalaman dan disegani.
SabahNews merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan warga PDRM atas kehilangan seorang pegawai kanan yang telah banyak berjasa kepada negeri dan negara.
Al-Fatihah. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.






