SOOK: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, mengiktiraf usaha bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin, dalam mencadangkan serta mengusahakan pembinaan Kompleks Sukan Sook.
Beliau berkata, usaha itu dimulakan ketika Ellron menerajui kementerian berkenaan dan diteruskan selepas beliau mengambil alih tanggungjawab tersebut.
“Penghargaan ini juga saya turut tujukan kepada Yang Berbahagia Datuk Ellron Angin yang mengusahakan dan mencadangkan pembinaan kompleks ini ketika menerajui Kementerian Belia dan Sukan sebelum saya mengambil alih kementerian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Tapak Kompleks Sukan Sook di Jalan Masusun, di sini, pada 14 Oktober lalu.
Projek bernilai kira-kira RM15 juta itu dibiayai Kerajaan Negeri Sabah menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Penyerahan tapak kepada AC Enterprise selaku kontraktor pelaksana menandakan langkah seterusnya dalam pembangunan kompleks berkenaan.
Nizam turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, atas kelulusan pembinaan kompleks itu.
Dalam pada itu, beliau meminta kontraktor memastikan pembinaan mengikut jadual dan memenuhi kualiti ditetapkan, selain berharap kemudahan tersebut menjadi wadah mencungkil bakat sukan serta menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan belia Sook.
Antara yang hadir ialah Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jordan Jude Ellron; ADUN Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin; ADUN Liawan, Datuk Nik Nazri Nik Zawawi; serta Datuk Ellron Angin.






