SANDAKAN, SABAH – Pasukan bomba dipanggil menggergaji jeriji pintu utama sebuah rumah di Flat Taman Sejati, sini, bagi mengeluarkan mayat penghuninya yang telah mula kembung pada Rabu.
Mangsa yang ditemui dalam keadaan terduduk pada sebuah kerusi dikenal pasti sebagai seorang warga lelaki tempatan berumur 57 tahun dalam insiden 2.20 petang itu.
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya yang tiba di lokasi segera meminta bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan.
“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu berdasarkan bentuk fizikalnya yang sudah kembung dan mengeluarkan bau,” katanya.
Tambah beliau, mangsa tinggal bersendirian dan telah mendapat laporan bau busuk daripada jiran-jiran curiga.
Abdul Fuad berkata, siasatan awal yang dilakukan mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada mayat mangsa.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk bedah siasat.
“Setakat ini tidak terkesan sebarang unsur jenayah ke atas mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya.