KUDAT, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot yang membawa barang kawalan tanpa kebenaran yang sah pada Khamis.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bertindak berdasarkan maklumat perisikan yang diterima bot ronda Zon Maritim Kudat yang ketika itu sedang menjalankan rondaan OP TIRIS segera diatur gerak ke lokasi berkenaan pada pukul 5.00 pagi.
“Lebih kurang jarak 0.2 batu nautika selatan Tanjung Pegasan, Pitas, sebuah bot pam berjaya dikesan sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Semasa merapati bot terbabit, suspek telah melarikan diri dengan mengemudi bot pam menuju ke kawasan persisiran yang cetek.
“Pengendali bot berkenaan dipercayai bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan hutan paya bakau berhampiran,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati, sebuah pam bot tanpa nombor pendaftaran membawa muatan barangan kawalan iaitu lebih kurang 400kg minyak masak peket dan 50 paket tepung gandum.
Abernathy berkata, bot serta barang rampasan dianggarkan lebih kurang RM16,000 dibawa ke jeti dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan selanjutnya.
“Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki membawa barang kawalan tanpa kebenaran yang sah,” tambahnya.