KOTA KINABALU, SABAH – Pelan antirasuah organisasi negeri diwujudkan bagi menerapkan budaya integriti dan kualiti sektor awam negeri berada dalam keadaan baik dan cemerlang.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong berkata kerajaan negeri pada September 2022 telah mewajibkan setiap kementerian, agensi dan jabatan menyediakan Pelan Antirasuah masing-masing yang perlu disiapkan pada atau sebelum Oktober 2023.
“Pelan ini selaras dengan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dilancarkan pada 2004 dengan lima sasaran utama iaitu pertama, memerangi gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara menyeluruh.
“Kedua, meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah birokrasi.
“Ketiga, meningkatkan tadbir urus korporat, etika perniagaan dan tanggungjawab sosial korporat serta memantapkan institusi keluarga dan komuniti bagi sasaran keempat.
“Manakala kelima, meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat,” katanya semasa Majlis Pelancaran Buku Pelan Antirasuah Jabatan Perhutanan Sabah (OACP JPS 2023-2027) dan Sistem Pemeriksaan dan Pentaksiran Royalti Balak (SPPR)(Online System) di sini, pada Khamis.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Dr Ahemad Sade.
Menurutnya, aplikasi digital atau online dalam penyampaian perkhidmatan khususnya pelancaran (SPPR)(Online System) iaitu pembayaran royalti balak secara dalam talian pastinya akan mempermudahkan pelanggan, meningkatkan integriti dan tadbir urus dalaman jabatan.
“Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA 2023) yang diadakan baru-baru ini memperlihatkan keseriusan pihak kerajaan negeri dalam membudayakan integriti di kalangan penjawat awam.
“Pelaksanaan program pembudayaan integriti adalah untuk membantu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) yang mana negara menyasarkan berada pada kedudukan ke-25 dalam tempoh 10 tahun akan datang,” ujar beliau.
Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Sabah Datuk S Karunanithy Y. Subbiah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Datuk Zainudin Aman, Ketua Konservator Hutan Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Frederick Kugan, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah Ernywati Dewi Abas serta Setiausaha Korporat Yayasan Sabah Hanafiah Diman. — JABATAN PENERANGAN SABAH