KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri akan mewujudkan Pusat Perlindungan Sementara di setiap daerah yang dikenal pasti di Sabah bagi mengatasi kegiatan kanak-kanak Palauh yang berkeliaran di kawasan tumpuan ramai serta kewujudan setinggan di bandar.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata kehadiran kanak-kanak yang berkeliaran dan mengemis di jalan raya dan lampu trafik di bandar utama Sabah telah mewujudkan kegusaran awam.
“Penglibatan mereka dalam aktiviti seperti meminta sedekah, berkeliaran di kawasan tumpuan ramai serta mewujudkan setinggan dalam bandar bukan sahaja memberi imej negatif kepada negeri ini, malah memberi persepsi yang salah tentang usaha pembangunan negeri…
“Majoriti kumpulan ini adalah daripada suku Palauh yang merupakan kumpulan masyarakat tanpa dokumen yang secara tradisinya menghuni kawasan pesisir laut dan pulau di pantai timur Sabah.
“Kerajaan negeri akan mengambil langkah menyelamat dengan mewujudkan Pusat Perlindungan Sementara di setiap daerah yang dikenal pasti di negeri Sabah.
“Pusat Perlindungan Sementara ini akan diselia oleh kerajaan negeri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am serta dibantu oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe yang mewakili ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick semasa sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Mengulas lanjut, Abidin berkata pihaknya telah mengenal pasti sebuah rumah kerajaan yang akan dijadikan sebagai Pusat Perlindungan Sementara terbabit.
“Peruntukan segera sebanyak RM250 ribu telahpun disediakan untuk tujuan pengubahsuaian rumah berkenaan agar bersesuaian dengan konsep Pusat Perlindungan Sementara. Pusat perlindungan ini dijangka akan mula beroperasi pada penghujung tahun ini…
“Dari segi konsep, sasarannya adalah kanak-kanak Palauh secara bersama dengan penjaga atau berasingan akan diselamatkan semasa operasi yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara berjadual dan bersasar.
“Kanak-kanak jalanan ini akan dihantar ke Pusat Perlindungan Sementara untuk pengasingan dalam tempoh maksima sehingga tiga bulan. Pusat ini akan menyediakan program khas yang menerapkan kemahiran mengenai pengurusan diri, kehidupan bermasyarakat dan pembelajaran rohani secara tidak rasmi.
“Selepas itu, kanak-kanak ini akan dikembalikan kepada ibu bapa atau penjaga apabila tempoh tiga bulan berakhir. Semasa penyerahan kembali kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga perlu melalui proses amaran kelakuan dan larangan mengulangi kesalahan,” katanya.
Disamping itu, beliau turut menambah tanggungjawab keselamatan di pusat ini adalah diletakkan di bawah bidang kuasa RELA yang memberikan kawalan 24 jam sepanjang pusat beroperasi.
Manakala tanggungjawab membuat pemeriksaan sebelum masuk dan isu-isu kesihatan adalah di bawah penyeliaan Jabatan Kesihatan sepenuhnya.
Disamping itu, Abidin juga menjelaskan pelaksanaan inisiatif ini adalah selaras dengan konvensyen berkaitan hak Kanak-Kanak 1989 (Geneva) yang menekankan hak-hak kanak-kanak untuk mendapatkan perlindungan dari sebarang keadaan yang merbahaya termasuk kemungkinan pengekploitasian terhadap kanak-kanak, serta Akta Kanak-kanak tahun 2001: Perkara 17 (k) (i) dan (ii).