PRU14; Kemungkinan Besar Tun M Akan Bertanding

PRU14; Kemungkinan Besar Tun M Akan Bertanding

0
SHARE

KULIM, KEDAH – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan bertanding di mana-mana kawasan sekiranya keadaan terdesak apabila tiada calon pilihan yang bersesuaian pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Memetik laporan portal online Bernama, beliau yang ditemui pada majls Jamuan Hari Raya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kedah berkata sehingga kini keadaan itu tidak timbul kerana parti itu masih mempunyai ramai calon yang layak .

“Saya tak tentukan lagi, saya akan bertanding ataupun tidak, cuma dalam keadaan terdesak sahaja barulah saya akan bertanding tapi di waktu ini tak nampak terdesak,” katanya.

Sebelum ini, khabar angin mengatakan Pengerusi PPBM itu akan bertanding pada PRU14.

Sementara itu, Dr Mahathir menyifatkan hasrat PAS untuk bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 kerusi Parlimen di Kedah hanya untuk memenangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata kemasukan PAS dalam sesebuah kawasan akan mendorong pertandingan tiga penjuru dan ini akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional.

Bagi PPBM pula , Dr Mahathir yakin parti itu mendapat sokongan anggota PAS disebabkan berlaku perpecahan di kalangan mereka selain hilang keyakinan kepada kepemimpinan tertinggi PAS.