Tiada Unsur Buli Dalam Insiden Murid Terjatuh di Sekolah Papar – JPN...

Tiada Unsur Buli Dalam Insiden Murid Terjatuh di Sekolah Papar – JPN Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah mengesahkan seorang murid yang terjatuh di kawasan sebuah sekolah di Papar baru-baru ini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di hospital, manakala siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah atau buli dalam kejadian berkenaan.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius insiden tersebut dan telah mengambil tindakan segera bagi memastikan kebajikan serta keselamatan mangsa terus terpelihara.

Menurut kenyataan itu, pihak sekolah bertindak pantas dengan memberikan bantuan awal kepada mangsa, memaklumkan kejadian kepada ahli keluarga dan pihak polis serta mengawal kawasan kejadian bagi mengelakkan suasana panik.

Mangsa telah menerima pemeriksaan dan rawatan di hospital. Berdasarkan laporan perubatan, mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Kebajikan, keselamatan serta kesejahteraan emosi mangsa terus diberi perhatian menerusi pemantauan berterusan, selain sokongan psikososial dan emosi turut disalurkan kepada mangsa serta warga sekolah yang terkesan,” jelas JPN dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut jabatan itu, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

“Siasatan awal pihak sekolah mendapati tiada unsur jenayah atau buli dalam kejadian ini,” katanya.

Sehubungan itu, JPN Sabah menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana ia boleh mengganggu proses siasatan serta menjejaskan kesejahteraan mangsa, keluarga dan seluruh warga sekolah.

JPN Sabah turut menegaskan komitmennya untuk terus memastikan keselamatan dan kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan di semua institusi pendidikan di negeri ini.