Nizam Terima Kunjungan Majlis Belia Sabah, Tekankan Peranan Belia Dalam SMJ 2.0

Nizam Terima Kunjungan Majlis Belia Sabah, Tekankan Peranan Belia Dalam SMJ 2.0

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan bahawa pembangunan belia merupakan antara tonggak utama hala tuju negeri Sabah menerusi pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Majlis Belia Sabah (MBS) di Bilik Mesyuarat Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif di Bangunan MUIS, di sini, hari ini, yang turut disusuli dengan penyampaian watikah pelantikan.

Menurut Nizam, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah meletakkan agenda pembangunan belia sebagai keutamaan bagi memastikan generasi muda bersedia menggalas tanggungjawab kepimpinan serta menyumbang kepada kemajuan negeri.

“Majlis Belia Sabah perlu sentiasa bergerak seiring dengan kerajaan dalam membangunkan golongan belia, di samping memastikan Sabah kekal kompetitif di peringkat global melalui kestabilan politik dan ekonomi yang sedang dibina,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau turut menyifatkan MBS sebagai badan induk pertubuhan belia di Sabah yang berperanan penting sebagai suara utama serta penggerak pembangunan generasi muda di negeri ini.

Katanya, kerjasama erat antara kerajaan dan MBS amat penting bagi melahirkan belia yang berdaya saing, berwawasan serta mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan Sabah pada masa hadapan.

Kunjungan MBS tersebut diketuai oleh Presidennya, Abqaree Fawwaz Abekan bersama rombongnnya.