KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengalu-alukan inisiatif Shell Malaysia untuk meningkatkan penyertaan tempatan dalam industri minyak dan gas negeri ini, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat Sabah.
Beliau berkata, pada tahun lalu Kerajaan Negeri telah menetapkan sasaran 100 peratus bagi meningkatkan nilai kontrak Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) yang dianugerahkan kepada syarikat tempatan.
“Sasaran ini menzahirkan komitmen kukuh Kerajaan Negeri untuk memperkasa penglibatan tempatan dan membangunkan ekosistem tenaga yang berdaya tahan serta berteraskan keupayaan anak tempatan,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi Negara Shell Malaysia merangkap Naib Presiden Kanan Upstream Malaysia, Siti Sulaiman, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Dalam pertemuan itu, Siti turut memberi taklimat mengenai perkembangan perniagaan serta aktiviti dan projek Shell yang sedang berjalan di Sabah, termasuk usaha syarikat berkenaan dalam memupuk keusahawanan tempatan melalui program Shell LiveWIRE.
Turut mengiringi Siti ialah Pengurus Besar Sabah Shell, Alexon Jong; Pengurus Besar Perhubungan Korporat Malaysia Timur Shell Malaysia, Jonathan Jolly; serta Penasihat Perhubungan Korporat Malaysia Timur Shell Malaysia, Liz Kumar.






