Pengambilan 20,000 Guru Baharu Perlu Ambil Kira Keperluan Sabah, Pedalaman – Azrul

Pengambilan 20,000 Guru Baharu Perlu Ambil Kira Keperluan Sabah, Pedalaman – Azrul

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pemuda Gagasan Rakyat menggesa agar pengambilan 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 secara lantikan kontrak oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilaksanakan secara lebih strategik dengan memberi penekanan khusus kepada keperluan negeri Sabah, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif KPM itu yang bertujuan memenuhi keperluan guru di seluruh negara menjelang pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 serta persediaan kemasukan murid Tahun Satu pada tahun hadapan.

“Namun, proses pengambilan ini perlu mengambil kira realiti pendidikan di Sabah, khususnya isu kekurangan guru tempatan dan cabaran penempatan di kawasan luar bandar serta pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azrul, keutamaan wajar diberikan kepada anak jati Sabah bagi memastikan keperluan tenaga pengajar dapat dipenuhi secara mampan dan berterusan, selain membolehkan pendekatan pengajaran yang lebih selari dengan konteks sosio-budaya serta geografi setempat.

Beliau berkata, calon yang memiliki ikhtisas pendidikan juga perlu diberi keutamaan bagi menjamin tahap profesionalisme, kompetensi dan kualiti pengajaran, sekali gus memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan berkesan sejak penempatan awal.

Selain itu, katanya, bagi sekolah di kawasan pedalaman, calon guru yang berasal atau menetap berhampiran kawasan berkenaan wajar diutamakan bagi mengurangkan isu mobiliti, pertukaran kerap dan kekosongan jawatan.

“Pendekatan pengambilan yang bersasar, inklusif dan sensitif kepada keperluan wilayah seperti Sabah akan memperkukuh sistem pendidikan negara serta memastikan pelaburan kerajaan memberi impak yang nyata dan berterusan kepada rakyat,” katanya.