KOTA BELUD: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan, Datuk Japlin Akim, menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Pusat Mengundi SK Timbang Dayang pada jam 11.50 pagi tadi.
Beliau hadir bersama isterinya, Datin Wini Chai, dalam suasana tenang dan teratur, dengan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya memastikan proses pengundian berjalan lancar.
Japlin berkata, pelaksanaan hak mengundi adalah amalan demokrasi yang perlu diraikan dengan penuh disiplin dan integriti. Katanya, setiap rakyat mempunyai peranan penting dalam menentukan masa depan negeri melalui mandat yang diberikan.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan pembangunan Usukan berasaskan kestabilan, kesinambungan dan pemahaman terhadap keperluan rakyat. Sepanjang kempen, beliau konsisten memperjuangkan isu-isu setempat termasuk prasarana, pendidikan, ekonomi, peluang belia serta pemberdayaan wanita.
“Usukan perlu dipacu oleh kepimpinan yang bekerja, bukan sekadar berkata-kata,” katanya ringkas ketika ditemui.
Dengan kehadiran pengundi yang semakin meningkat hari ini, jelas terpancar harapan bahawa rakyat Usukan mahukan wakil yang mampu membawa pembangunan dan kemajuan berterusan ke daerah itu.






