KOTA KINABALU: Dakwaan lama bahawa DAP Sabah mempunyai kuasa autonomi kini dipersoal hebat susulan pengumuman rasmi kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Ahli Majlis Tertinggi merangkap Naib Ketua Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP), Yong Yit Jee menyifatkan kerjasama itu sebagai bukti kukuh bahawa DAP Sabah tidak lagi memiliki kuasa membuat keputusan sendiri, seperti yang sering dicanang sebelum ini.
“Pada 10 November 2024, Setiausaha Agung DAP sendiri mengisytiharkan bahawa DAP Sabah diberi autonomi penuh dalam rundingan politik. Namun, kenyataan terbaru Kerajaan Perpaduan pada 9 Mei 2025 jelas menunjukkan segala keputusan akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi di peringkat kebangsaan,” kata Yong dalam satu kenyataan, semalam.
Yong menegaskan bahawa keputusan penting seperti pengagihan kerusi tidak ditentukan oleh pemimpin DAP Sabah, sebaliknya dikawal sepenuhnya dari Kuala Lumpur, sekaligus menafikan dakwaan autonomi yang dilaungkan sebelum ini.
“DAP Sabah tidak boleh buat keputusan sendiri. Semuanya ditentukan di pusat. Tetapi mereka masih mendakwa ada autonomi, ini penipuan kepada rakyat Sabah,” ujarnya.
Beliau turut mengimbas kembali kenyataan DAP sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, yang ketika itu menafikan sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO. Namun selepas PRU, DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan yang turut melibatkan UMNO, sesuatu yang disifatkan Yong sebagai ketidakkonsistenan dan pengkhianatan kepada mandat rakyat.
“Rakyat Sabah bukan pelupa. Mereka ingat apa yang dijanjikan. Kini jelas DAP Sabah hanyalah pelakon politik yang melaksanakan arahan dari pusat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Yong menyeru rakyat Sabah untuk menolak parti-parti dari Semenanjung yang menurutnya tidak memahami aspirasi dan keperluan sebenar rakyat negeri itu.
“Sabah bukan jajahan parti Semenanjung. Masa depan Sabah harus ditentukan oleh anak watan Sabah sendiri,” tegasnya.
SAPP, yang merupakan sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menegaskan komitmennya untuk memperjuangkan hak dan autonomi Sabah serta mendesak rakyat memberi kepercayaan kepada parti-parti tempatan yang benar-benar mewakili suara Sabah.
“Dalam PRN akan datang, rakyat Sabah ada peluang untuk memilih, sama ada terus ditentukan dari luar atau bangkit membina masa depan sendiri,” kata Yong.