TAMPARULI, SABAH – Masyarakat Islam diseru membina silaturrahim, memelihara ukhuwah sesama insan agar mendapat barakah serta rahmat Allah SWT.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, sepanjang bulan Ramadhan, silaturahim merupakan hal yang dituntut dalam hidup bermasyarakat.
“Binalah ukhuwah sesama insan meskipun berlainan agama dan fahaman,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Progran Santunan Kasih Ramadhan 1444H / 2023M di Masjid Ubudiyyah Pekan Tamparuli, di sini, semalam.
Turut hadir Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Saifulzaman Sangul, Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Daerah Kecil Tamparuli/Kiulu, Suffian Kundu dan Pengerusi Masjid Ubudiyyah, Salgaring Wahit.
Katanya, hubungan silaturahim sempena Ramadan juga dapat menjauhkan manusia daripada sebarang perkara yang memecah belahkan umat.
“Sememangnya hidup kita sentiasa berdepan dengan cabaran dan dugaan hidup, sehingga ada kalanya membuatkan seseorang itu mudah cepat putus asa.
“Namun kita mengharapkan supaya perhubungan kita khususnya di Sabah kekal mekar, mesra dan erat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sentiasa menyokong usaha seumpama ini yang pastinya mampu mengeratkan lagi silaturrahim dalam kalangan masyarakat Islam.
“Tahniah dan terima kasih kepada pihak penganjur terutamanya Masjid Ubudiyyah atas penganjuran ini.
“Insyaallah mana-mana mengikut kapasiti kami sebagai pemimpin, kita akan usahakan apa sahaja yang boleh dilakukan bagi memastikan nasib rakyat sentiasa terbela,” katanya.
Pada program tersebut, seramai 50 orang penerima dalam kalangan asnaf, anak yatim dan golongan mualaf menerima sumbangan daripada pihak MUIS.