20,000 Pelajar B40 Di IPTA Terima Manfaat Menu Siswa Rahmah

20,000 Pelajar B40 Di IPTA Terima Manfaat Menu Siswa Rahmah

0
SHARE
Menu Siswa Rahmah
Gambar hiasan

KOTA KINABALU, SABAH – Lebih 20,000 pelajar daripada golongan B40 di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) Sabah menerima manfaat daripada pengenalan Menu Siswa Rahmah dengan hidangan pada harga RM3.50.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam dalam kenyataan memberitahu mereka terdiri 3,779 pelajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kota Kinabalu dan 161 daripada UiTM Tawau; 11,968 di Universiti Malaysia Sabah (UMS); dan 3,713 orang pelajar di Politeknik Kota Kinabalu serta Politeknik Sandakan.

Menurut kenyataan itu, Menu Siswa Rahmah inisiatif KPT dalam membantu meringankan beban kos sara hidup mahasiswa, khususnya daripada golongan B40 bagi memastikan kelangsungan kebajikan mereka terus dijaga dan proses pembelajaran dan pengajaran tidak terjejas.

“Program Menu Siswa Rahmah di IPTA Sabah melibatkan pemberian moratorium, pengecualian bayaran sewa premis, bayaran utiliti oleh pihak universiti dan politeknik kepada 22 pengusaha kafeteria, kios, gerai, penyedia makanan yang sedia ada dan baharu di dalam kampus.

“Penyediaan Menu Siswa Rahmah ini mengambil kira keperluan nutrisi asas (karbohidrat, protein, serat) dan komposisi kepelbagaian kaum mahasiswa di IPT,” menurut kenyataan terbabit.

Kenyataan terbabit dikeluarkan sempena tinjauan pelaksanaan Menu Siswa Rahmah oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal di UiTM Kota Kinabalu di sini, semalam.

Beliau turut menyampaikan sumbangan 1,000 kilogram beras daripada KPT sebagai sokongan terhadap inisiatif Dapur Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang menyediakan hidangan nasi percuma dua kali sehari kepada pelajar bagi membolehkan mereka berjimat dengan hanya membeli lauk sahaja di kafeteria.