KOTA KINABALU: Ketua syarikat pengendali pelabuhan global DP World, Sultan Ahmed bin Sulayem, meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta susulan tekanan berhubung kaitannya dengan pesalah seks disabitkan kesalahan, Jeffrey Epstein.
Peletakan jawatan itu diumumkan selepas dokumen baharu menunjukkan beliau didakwa bertukar ratusan e-mel dengan Epstein selama lebih sedekad.
DP World menamakan Essa Kazim sebagai pengerusi baharu dan Yuvraj Narayan sebagai ketua pegawai eksekutif, manakala beberapa rakan pelaburan antarabangsa menggantung pelaburan baharu sementara menilai semula hubungan dengan syarikat itu.
Perkembangan tersebut menarik perhatian di Sabah susulan kerjasama strategik antara Sabah Ports Sdn Bhd dan DP World bagi mengurus Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar pada 2024.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini berkata, pelaburan itu mencerminkan keyakinan terhadap kedudukan strategik Sabah sebagai hab perdagangan serantau.
Menurutnya, kerjasama berkenaan dijangka meningkatkan kecekapan pelabuhan, membuka pasaran baharu kepada perniagaan tempatan serta mengukuhkan peranan Sabah dalam rantaian bekalan global, khususnya dalam kawasan BIMP-EAGA.






