JEDDAH, ARAB SAUDI – Penunggang motosikal wanita, Anita Yusof, terus mengharumkan nama negara sekaligus kerohanian dirinya sendiri apabila membuat ‘pitstop’ di tanah suci Makkah enam hari lalu dalam pengembaraan solo ke seluruh dunia.
Perjalanan beliau terbukti berliku apabila terkandas di Addis Ababa, Ethiopia sejak Ogos 2020 lalu, ekoran pandemik dan kerenah birokrasi negara terbabit.
Beliau terpaksa membayar RM 16,000 bagi ‘menerbangkan’ motorsikal Yamaha FZ 150 tunggangannya.
“Bayangkan saya sepatutnya boleh dapat dua motosikal baharu model sama dengan nilai itu iaitu kos menerbangkan motosikal itu dari Addis Ababa ke Jeddah, Arab Saudi…
“Tetapi melihat kepada nilai sentimentalnya dan sejarah kerana dengan motosikal itulah saya keliling dunia dan dapat gelaran penunggang wanita Muslim pertama mengelilingi dunia,” katanya kepada Harian Metro pada Januari.

Segalanya berlaku di luar kawalan apabila COVID-19 melanda dunia ketika kira-kira tiga bulan selepas beliau memulakan misi ‘Global Dream Ride’.
Anita cuma sempat mengembara 14 negara membabitkan 22,000 kilometer daripada perancangan asal 70 negara sejak misi itu dimulakan pada Disember 2019 akibat sempadan negara ditutup.
Namun wanita berusia 52 tahun itu dapat meneruskan perjalanannya dengan kemas kini terakhir pada media sosial Instagram kelmarin yang menunjukkan beliau menunaikan ibadah di Masjidilharram, Makkah.

“Syukur. Berkesempatan menjejak kaki sekali lagi ke Haramain. Rasa bagai mimpi, aku yang hina dan pendosa ini bukan sekadar direzekikan berkunjung ke mari bersama kekasih hatiku GD (Global Dream) malahan dalam bulan penuh keberkatan yang biasanya hanya golongan kayangan saja yang mampu…
“Sesungguhnya, perancangan Allah adalah yang paling baik. Dia yang mempermudahkan, melorongkan dan menemukan aku dengan insan-insan baik hati yang banyak membantu,” katanya.
VIDEO sangat beremosi daripada Anita Yusof ketika memberi ucapan dengan penuh bangga serta bersyukur kerana menjadi wanita pertama yang melangkah ke Masjidil Haram dengan mengembara menggunakan motorsikalnya…

“Kalau korang tanya aku, memang tak mampu poketku nak ke mari di ketika ini. Tapi tu lah, rezeki itu rahsia Allah dan dia beri pada sesiapa yang dikehendakiNya…
“Semoga Allah bagi sebesar-sebesar ganjaran pada semua yang menolongku dan semoga Allah beri kita semua kesihatan yang baik serta permudahkan amal ibadah kita di Ramadan ini dan seterusnya. Amin,” katanya.