KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, Tun Datuk Seri Panglima Musa Aman tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, pada tengah hari tadi.
Pesawat khas yang membawa Tun Musa bersama rombongan mendarat di KKIA kira-kira jam 12.02 tengah hari tadi.
Ketibaan Tun Musa disambut oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif serta beberapa ahli jemaah Kabinet negeri Sabah.
Turut hadir bagi menyambut ketibaan Yang di-Pertua Negeri Sabah baharu itu ialah, ketua-ketua jabatan dan utama Tun Musa disambut oleh ribuan rakyat dari seluruh pelusuk negeri ini.
Tun Musa, 73, dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.
Pelantikan Tun Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.
Tun Musa merupakan anak jati Beaufort berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Edith Cowan University, Australia.
Tun Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-14 pada 27 Mac 2003, menggantikan Tan Sri Chong Kah Kiat dan memegang jawatan itu selama lima penggal sehingga 12 Mei 2018, menjadikannya Ketua Menteri Sabah paling lama memegang jawatan tersebut.
Selain berkhidmat sebagai Ketua Menteri, beliau yang juga ADUN Sungai Sibuga selama 6 penggal (1994 – 2020) juga pernah memegang jawatan penting termasuk Menteri Kewangan Sabah, Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Konsul Kehormat Malaysia di Bangladesh.
Terdahulu, menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, kira-kira 4,000 rakyat melibatkan sekitar bandaraya Kota Kinabalu dan beberapa daerah lain menyambut ketibaan Tun Musa di Terminal 2 KKIA di sini.
Tun Musa dijadual menyempurnakan Istiadat Lafaz Sumpah Jawatan Yang Di-Pertua Negeri Sabah dan menandatangani Surat Cara Angkat Sumpah Jawatan di Dewan Istiadat Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu pada 1 Januari 2025.