KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menggesa Wisma Putra tampil memberikan penjelasan segera berhubung dakwaan tular kononnya sebahagian besar tanah di Pulau Sebatik telah diserahkan kepada Indonesia.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim berkata, gesaan itu dibuat susulan penyebaran maklumat tidak sahih di media sosial yang mengelirukan rakyat serta berpotensi menjejaskan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.
Menurutnya, ketiadaan penjelasan rasmi setakat ini membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk memanipulasi isu sensitif berkenaan.
“Isu ini sangat sensitif kerana melibatkan sempadan negara dan hak antara dua negara. Saya yakin rakyat Sabah akan membuat pertimbangan sewajarnya dan menunggu penjelasan jelas daripada pihak sepatutnya, khususnya Wisma Putra berhubung isu Pulau Sebatik yang bukan perkara baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di sini, semalam.
Sehubungan itu, beliau menegaskan penjelasan rasmi daripada Wisma Putra amat penting bagi memastikan fakta sebenar disampaikan kepada rakyat sekali gus mengekang penyebaran berita palsu.
Dalam perkembangan sama, satu laporan polis turut dibuat terhadap akaun media sosial yang dipercayai terlibat dalam penyebaran tuduhan liar dan fitnah terhadap Ketua Menteri, bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, dakwaan mengenai penyerahan tanah di Pulau Sebatik telah dinafikan oleh pihak Indonesia, namun isu berkenaan terus menjadi perbualan hangat di media sosial.
Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta tidak membuat spekulasi yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.






