Rumah Jadi Stor Simpanan, Lebih Satu Tan Minyak Masak Paket Dirampas di...

Rumah Jadi Stor Simpanan, Lebih Satu Tan Minyak Masak Paket Dirampas di Sandakan

0
SHARE

SANDAKAN: Taktik menjadikan rumah kediaman sebagai stor simpanan terbongkar apabila lebih satu tan minyak masak paket bersubsidi dirampas dalam satu serbuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan, pada malam Khamis.

Dalam operasi kira-kira jam 9.47 malam itu, sebanyak 1,139 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi bersaiz 1kg setiap satu ditemui disimpan di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Sandakan, Joe Azmi Jamil berkata, serbuan berkenaan adalah hasil risikan selama seminggu oleh pihaknya.

“Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah besar minyak masak paket bersubsidi disimpan tanpa sebarang permit atau lesen sah.

“Kesemua barang kawalan itu telah disita dengan nilai rampasan dianggarkan RM2,747,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, seorang wanita tempatan berusia 20 tahun yang dipercayai bertanggungjawab di premis berkenaan turut diambil rakaman percakapan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan.

“KPDN akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan bekalan minyak masak paket bersubsidi sampai kepada golongan sasar,” katanya.

Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan melalui saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp, portal e-Aduan, talian Call Centre dan aplikasi Ez ADU KPDN.