KUALA LUMPUR – Majikan sektor swasta amat digalakkan memberi cuti kecemasan esok kepada para pekerja yang terkesan akibat banjir.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata dalam menghadapi situasi bencana seperti banjir, majikan sektor swasta diharap dapat memberikan kerjasama dan pertimbangan sewajarnya kepada pekerja-pekerja terjejas.
“Saya menyeru para majikan di sektor swasta menyambut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan cuti berbayar kepada pekerja yang terjejas tanpa menolak cuti tahunan dan gaji mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan cuti kecemasan kepada semua kakitangan awam yang terkesan akibat bencana banjir.

Perdana Menteri berkata, untuk kakitangan swasta, syarikat disarankan memberi pekerja cuti berbayar atau ‘paid leave’ dengan tidak menolak peruntukan cuti tahunan dan gaji mereka.
“Berapa lama cuti itu, kakitangan boleh berbincang dengan ketua jabatan masing-masing. Ini termasuk kakitangan awam pada peringkat kerajaan negeri,” katanya.





