KOTA KINABALU – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mengesahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat berhubung dakwaan penyebaran kenyataan berunsur fitnah terhadap G57 serta Datuk Zulkarnain Mahdar.
Susulan itu, G57 kini sedang mengesan seorang individu yang bernama “Azlan” atau “Hanzo” bagi tujuan penyerahan Letter of Demand (LOD) melalui Tetuan Boestamam Ahmad & Co. sebelum tindakan undang-undang difailkan.
Menurut G57, individu tersebut telah menyebarkan kenyataan palsu di media sosial dan membuat laporan polis menggunakan maklumat yang salah dengan mendakwa bahawa G57 merupakan sebuah “persatuan haram”. G57 menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali kerana G57 bukan sebuah persatuan atau pertubuhan berdaftar, sebaliknya hanyalah sebuah jawatankuasa bertindak rakyat yang ditubuhkan pada tahun 2018 bagi membantu rakyat Malaysia.
Antara peranan utama G57 ialah menyediakan khidmat guaman secara percuma kepada seluruh rakyat Malaysia yang memerlukan tanpa mengira kaum, bangsa, agama atau latar belakang politik, selain memperjuangkan pelbagai isu kepentingan awam melalui saluran yang sah di sisi undang-undang.
Menurut G57, tindakan menyebarkan dakwaan tersebut bukan sahaja telah mengelirukan orang ramai mengenai status sebenar G57, malah turut mencemarkan nama baik G57 serta Datuk Zulkarnain Mahdar, selain menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap pelbagai usaha kebajikan dan khidmat guaman percuma yang telah dilaksanakan sejak G57 ditubuhkan.

G57 turut menjelaskan bahawa umum mengetahui antara usaha yang pernah dilaksanakan oleh jawatankuasa ini ialah membantu keluarga Allahyarhamah Zara Qairina dengan mendesak kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Inkues bagi memastikan punca kematian beliau disiasat secara telus dan menyeluruh. Selain itu, G57 juga aktif membantu rakyat yang memerlukan khidmat guaman percuma serta memperjuangkan pelbagai isu rakyat melalui saluran undang-undang.
G57 menegaskan bahawa setiap individu mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan dan kritikan. Walau bagaimanapun, hak tersebut tidak memberi hak kepada mana-mana pihak untuk membuat tuduhan fitnah yang tidak benar atau menyebarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat sehingga menjejaskan nama baik individu atau atau mana organisasi.
Sehubungan itu, G57 telah membuat laporan polis dan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam, Seksyen 211 Kanun Keseksaan sekiranya terdapat unsur membuat pertuduhan palsu, serta Seksyen 499 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan fitnah, atau mana-mana peruntukan undang-undang lain yang difikirkan sesuai berdasarkan hasil siasatan.
Dalam masa yang sama, Tetuan Boestamam Ahmad & Co. telah diarahkan untuk menyediakan dan menyerahkan Letter of Demand (LOD) kepada individu tersebut sebaik sahaja alamatnya berjaya dikenal pasti. Pihak peguam seterusnya akan memfailkan tindakan saman sivil dengan tuntutan ganti rugi sebanyak RM1 juta, berdasarkan fakta, bukti dan nasihat guaman.

G57 turut memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang mengesan beberapa lagi individu penyokong Parti Warisan Sabah yang dipercayai telah menyebarkan fitnah jahat di Facebook dengan mendakwa G57 merupakan sebuah “pertubuhan haram”.
Menurut G57, dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali kerana G57 bukan sebuah persatuan atau pertubuhan berdaftar, sebaliknya hanyalah sebuah jawatankuasa bertindak rakyat.
Sehubungan itu, Tetuan Boestamam Ahmad & Co. turut diarahkan untuk mengenal pasti identiti serta maklumat individu-individu terbabit sebelum Letter of Demand (LOD) diserahkan kepada mereka. Selepas penyerahan LOD, tindakan saman sivil akan diteruskan mengikut proses undang-undang berdasarkan fakta, bukti dan nasihat guaman.
G57 turut menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai identiti sebenar atau lokasi individu yang menggunakan nama samaran “Hanzo”, serta individu-individu lain yang dipercayai menyebarkan dakwaan sama di media sosial, supaya menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak G57 atau Tetuan Boestamam Ahmad & Co. bagi membantu proses penyerahan dokumen undang-undang.
G57 turut memaklumkan bahawa pihaknya menerima maklumat yang mendakwa individu yang menggunakan nama samaran “Hanzo” merupakan penyokong kuat Datuk Azis Jamman dan Parti Warisan Sabah, serta dipercayai menetap di kawasan Kempas, Johor Bahru.
Bagi tujuan makluman, Tetuan Boestamam Ahmad & Co. juga bercadang menyerahkan salinan Letter of Demand (LOD) kepada Datuk Azis Jamman serta ke Ibu Pejabat Parti Warisan Sabah susulan maklumat yang diterima berhubung dakwaan kaitan individu terbabit dengan parti berkenaan.

G57 menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didakwa menyebarkan fitnah atau tuduhan palsu sehingga mencemarkan nama baik G57 serta Datuk Zulkarnain Mahdar. Tindakan undang-undang ini bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya bagi mempertahankan hak dan reputasi daripada dakwaan yang disifatkan fitnah dan tuduhan jahat.
G57 berharap tindakan ini akan menjadi peringatan kepada semua pengguna media sosial supaya lebih bertanggungjawab dalam setiap kenyataan yang diterbitkan. Kebebasan bersuara hendaklah dilaksanakan secara berhemah, berasaskan fakta dan tidak disalahgunakan untuk menyebarkan tuduhan yang boleh mencemarkan nama baik mana-mana individu atau organisasi.






