KOTA KINABALU: Kumpulan SEDCO meningkatkan sasaran kutipan derma darah kepada 500 pain selepas berjaya melepasi pencapaian 300 pain dalam Kempen Derma Darah CSR 2026.
Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Ir James Wong Kein Peng berkata, kempen itu setakat ini telah mengumpulkan sebanyak 331 pain darah, sekali gus melangkaui sasaran awal.
“Kita bukan sahaja mencapai sasaran 300 pain, malah telah melepasinya. Sokongan padu semua pihak mendorong kita untuk menetapkan sasaran baharu sebanyak 500 pain,” katanya pada majlis penutupan kempen di Imago Shopping Mall, semalam.
Program dwitahunan yang bermula sejak 2017 itu kini memasuki edisi keenam dan kekal sebagai antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang konsisten dilaksanakan di Sabah.
Sepanjang siri jelajah tahun ini, Tawau mencatat kutipan tertinggi sebanyak 191 pain dalam tempoh dua hari, diikuti Lahad Datu (70), Keningau (42) dan Tongod (28).
James berkata kempen tersebut bukan sahaja membantu memastikan bekalan darah mencukupi, malah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menderma darah sebagai tanggungjawab sosial.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan sesebuah organisasi tidak hanya diukur melalui prestasi perniagaan, tetapi juga melalui sumbangan dan impaknya kepada masyarakat.






