Polis Tembak Tayar Van, Enggan Berhenti Sekatan

Polis Tembak Tayar Van, Enggan Berhenti Sekatan

0
SHARE
Van
Pemandu van memecut laju kenderaannya selepas enggan berhenti dalam sekatan jalan raya yang dijalankan pada Rabu

BAYAN LEPAS, PULAU PINANG – Polis telah melepaskan satu das tembakan ke arah tayar sebuah van selepas pemandu enggan memberhentikan kenderaannya dalam sekatan jalan raya di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini pada pagi Rabu.

Memetik sumber Sinar Harian, sebelum kejadian, sepasukan polis trafik telah membuat Ops Perdagangan di lebuh raya tersebut pada jam 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, ketika menjalankan operasi, anggota mendapati sebuah van dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba menahannya.

Bagaimanapun menurutnya, pemandu van enggan mematuhi arahan itu lalu memecut laju kenderaannya.

“Anggota polis telah mengejar kenderaan itu hingga ke Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas dan terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar hadapan van apabila suspek cuba melanggar anggota polis sebelum kenderaannya terbabas di bahu jalan.

Susulan daripada itu, kita menahan pemandu van iaitu lelaki warga tempatan berusia 36 tahun di tempat kejadian.

“Insiden tersebut turut menyebabkan beberapa kemalangan melibatkan kenderaan lain yang diparkir di tepi jalan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Kamarul menambah, siasatan awal mendapati, suspek tidak mempunyai lesen memandu dan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

“Ujian saringan air kencing suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine. Suspek juga mempunyai rekod dikehendaki bersabit dengan kes Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya pada tahun 2023 di daerah Barat Daya,” katanya.