KOTA KINABALU, SABAH – Nilai R COVID-19 bagi negara Malaysia telah mencecah 1.04 dan jika penduduk Sabah tidak berhati-hati maka kadar jangkitan boleh kembali meningkat.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya menegaskan kepentingan pengambilan dos ketiga (dos penggalak) vaksin agar imuniti badan dapat lebih diperkuatkan.
Beliau meminta individu atas 40 tahun yang layak iaitu setelah mencapai tempoh matang enam (6) bulan bagi vaksin jenis Pfizer dan tiga (3) bulan bagi Sinovac untuk tampil mengambilnya.
“Kita minta kepada semua rakyat kita yang belum mengambil vaksin untuk segera tampil mendapatkannya dan yang sudah menerima vaksin sila patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh kerajaan untuk kita sama sama bantu mematahkan rangkaian jangkitan…
“Setakat ini di negeri Sabah kita telah memberi dos penggalak kepada 48,461 orang penerima dan sebagaimana yang kita ketahui pada peringkat ini kita beri kepada petugas barisan hadapan dan juga mereka yang berumur 60 ke atas.
“Yang telah memenuhi kriteria untuk menerima dos penggalak boleh mengambil dos penggalak ini secara walk in di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) yang ada ataupun fasiliti kesihatan berdekatan dengan kediaman mereka,” katanya.
Beliau ditemui ketika program pemberian dos penggalak kepada pengamal media Sabah dalam pada masa sama melihat perkembangan pemberian di Sabah International Convention Centre (SICC) pagi tadi.

Beberapa pengamal media Sabah hari ini menerima dos penggalak bagi mengurangkan risiko ancaman COVID-19 semasa menghadap pelbagai situasi di lapangan.
Shahelmey berkata petugas media adalah sebagai sebahagian daripada petugas barisan hadapan kerana sentiasa bertugas dalam kelompok ramai.
Katanya PPV di SICC di Kota Kinabalu akan beroperasi sehingga akhir bulan ini (November) tapi pemberian vaksin akan diteruskan di semua fasiliti kesihatan yang ada di seluruh negeri Sabah.
Ada sebanyak 76 pusat pemberian vaksin di seluruh Sabah dan juga lima (5) hospital swasta yang turut memberi khidmat memberi vaksin secara percuma kepada rakyat.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Mugunathan Vanar berkata pengambilan dos ketiga terbuka kepada semua pengamal media.
“Kita berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana mengadakan program khas ini. Kerajaan Negeri sangat membantu dalam menaikkan semangat pengamal media dari dos pertama sehingga dos penggalak ini pun mereka mengingati kami…
“Kita akan bekerjasama dengan Persatuan Wartawan Kota Kinabalu dan menyenaraikan lebih 140 nama untuk tampil mendapatkannya,” katanya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih bagi pihak wartawan dengan berkata: “jika kita tidak menyokong intiatif ini sekarang mungkin lain hari tiada lagi pihak yang ingin mengatur program seperti ini”.





