Bukan Semua Jalan Rosak Di Bawah Tanggungjawab JKR Sabah – Bung

Bukan Semua Jalan Rosak Di Bawah Tanggungjawab JKR Sabah – Bung

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Bukan semua jalan raya rosak yang diviralkan warganet di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

Demikian kata Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang berkata sukar untuk mengelak presepsi masyarakat apabila timbul isu kerosakan jalan raya di Sabah yang sering mengaitkannya dengan JKR.

Menteri Kerja Raya itu berkata orang awam perlu sedar terdapat tujuh (7) kategori jalan raya di Sabah iaitu Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, Jalan Majlis-Majlis Daerah, Jalan Luar Bandar, Jalan Kampung, Jalan Kayu Balak dan Jalan Estet Kelapa Sawit.

“Kategori Jalan Kampung, Jalan Kayu Balak dan Jalan Estate Kelapa Sawit juga banyak mendatangkan masalah kerana jalan ini tidak berstatus dan terlalu sukar untuk diperbaiki ini…

“Jalan seumpama ini tidak didaftarkan oleh pejabat daerah masing-masing kepada Kementerian Kerja Raya Sabah. Bagaimanapun ianya tetap mendapat perhatian umum untuk diviralkan di media sosial dan menyalahkan Jabatan dan Menteri yang berkenaan,” katanya.

Beliau mengulas keluhan warganet berhubung isu keadaan jalan raya dari pelbagai daerah negeri ini yang pada media sosial sejak beberapa hari lalu.

Bung berkata warganet tidak dapat dipersalahkan sepenuhnya kerana sebilangan daripada mereka tidak memahami keadaan yang sebenar.

Antara keluhan daripada warganet berhubung keadaan jalan raya di Sabah…

“Mereka tidak tahu jika jalan raya yang rosak tersebut di bawah bidang kuasa JKR atau agensi kerajaan yang lain…

“Kita memahami rasa ketidakpuasan pengguna jalanraya terlibat bagaimana pun sebelum memviralkanya ianya perlu di teliti terlebih dahulu tanpa sebarang perasaan prejudis kepada kerajaan, jabatan atau pemimpin berkaitan,” katanya lagi.

Menurut Bung, jika kerosakan jalan raya yang diviralkan di media cetak atau media sosial sememangnya dalam tanggungjawab JKR, jabatan telah menyediakan Aplikasi Aduan kepada pengguna.

Dengan itu, katanya, JKR akan mengambil tindakan segara untuk memperbaiki atau jika jalanraya tersebut dalam tanggungjawab konsesi, jabatan akan mengarahkan mereka untuk memperbaikinya segara.

Dalam perkembangan yang sama Bung berkata, empat (4) kategori jalan iaitu Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, Jalan Majlis-Majlis Daerah dan Jalan Luar Bandar memang mendapat peruntukan sama ada dari kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan sumber-sumber lain namun ianya tidak mencukupi.

“Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Luar Bandar dan kerajaan negeri Sabah mengeluarkan peruntukan untuk empat kategori jalan terbabit tetapi tidak mencukupi untuk dibelanjakan kepada semua jalan raya yang rosak atau yang memerlukan naik taraf kerana peruntukan terhad,” katanya.

Beliau juga berharap orang ramai dapat memahami situasi yang dihadapi kerajaan dalam usaha menaik taraf jalan-jalan raya di negeri ini.

“Selaku Menteri yang bertanggungjawab dalam infrastruktur asas di negeri ini, saya telah berusaha dengan apa cara sekali pun untuk mendapatkan peruntukan bagi memperbaiki, menaik taraf dan memastikan jalan-jalan raya di Sabah dapat diurus dengan sebaik mungkin…

“Isu ini juga selalu saya bangkitkan semasa persidangn di Dewan Rakyat, namun hasrat saya terbantut disebabkan faktor-faktor kewangan dan lain-lain. Saya harap dengan penjelasan ini semua pihak perlu memahami keadaan sebenarnya,” jelasnya.