Lelaki Maut, Proton Dipandu Bertembung Lori 10 Tan di Jalan Bukit Kimanis-Keningau

Lelaki Maut, Proton Dipandu Bertembung Lori 10 Tan di Jalan Bukit Kimanis-Keningau

0
SHARE

KIMANIS: Seorang lelaki berusia 64 tahun maut selepas kereta Proton Persona dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori 10 tan di Jalan Basanon, Bukit Kimanis-Keningau, pada malam Rabu.

Dalam kejadian itu, mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba menggunakan peralatan menyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 7.55 malam.

Katanya, seramai lapan anggota bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 8.12 malam.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah Proton Persona dan lori 10 tan.

“Seorang mangsa tersepit di dalam kereta berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pemandu lori berusia 35 tahun pula dilaporkan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.18 malam selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.