Persekutuan Perlu Proaktif Tunaikan Hak 40 Peratus Sabah Tanpa Penangguhan – Azrul

Persekutuan Perlu Proaktif Tunaikan Hak 40 Peratus Sabah Tanpa Penangguhan – Azrul

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa supaya mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan pembayaran berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober 2025, tanpa sebarang penangguhan.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim berkata, walaupun Kerajaan Persekutuan mungkin memerlukan masa untuk menyusun mekanisme dan kaedah pelaksanaan tuntutan tersebut secara teratur dan efisien, menangguhkan pelaksanaan bukanlah keputusan yang wajar dalam keadaan semasa.

“Langkah yang lebih meyakinkan ialah memulakan pembayaran sebahagian dana yang berkaitan berdasarkan kapasiti kewangan sedia ada, sementara perincian jumlah sebenar serta formula pengiraan dapat dimuktamadkan melalui rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Azrul menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi mengesahkan hak perlembagaan Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri ini, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang penangguhan hanya akan menambahkan keresahan serta meningkatkan sentimen rakyat Sabah yang telah sekian lama menantikan penyelesaian adil terhadap hak negeri ini,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa isu ini tidak seharusnya dipolitikkan sehingga menimbulkan persepsi bahawa Kerajaan Negeri tidak serius dalam menuntut haknya. Di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, kerajaan negeri telah menunjukkan komitmen konsisten dan berprinsip melalui rundingan berkaitan Malaysia Agreement 1963 (MA63).

Azrul berkata rekod Kerajaan Negeri memperlihatkan pendekatan tegas dan berhemah melalui saluran rundingan, perundangan dan kerjasama antara kerajaan demi memastikan hak Sabah dapat dipulihkan secara berperingkat dan berkesan.

“Perkara paling penting ialah memastikan hak Sabah dihormati dan dilaksanakan. Dalam semangat Persekutuan Malaysia yang adil dan saksama, kita berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberi keutamaan kepada penyelesaian segera mengikut kapasiti yang ada,” katanya.