Taufan Bavi Menjauh Dari Sabah, Orang Ramai Diminta Kekal Berwaspada

Taufan Bavi Menjauh Dari Sabah, Orang Ramai Diminta Kekal Berwaspada

0
SHARE

KOTA KINABALU: Taufan Bavi (Inday) kini berada pada Kategori 2 dimana ia semakin menjauhi Sabah apabila sistem itu bergerak ke arah Taiwan dan Tanah Besar China.

Bagaimanapun, orang ramai khususnya nelayan serta komuniti pesisir pantai diingatkan supaya terus berwaspada berikutan kesan tidak langsung yang masih berpotensi mempengaruhi keadaan cuaca di negeri ini.

Menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat, Bencana Alam Sabah memaklumkan berdasarkan imej satelit yang dikeluarkan pada jam 3.40 petang, pusat Taufan Bavi berada kira-kira 1,950 kilometer dari Pulau Banggi dan terus bergerak ke arah barat laut pada kelajuan sekitar 20 kilometer sejam.

Menurut kenyataan itu, taufan berkenaan telah melemah dengan ketara berbanding ketika mencapai kemuncaknya sebagai Taufan Super Kategori 5 yang merekodkan angin maksimum sekitar 285 kilometer sejam.

“Ketika ini, Taufan Bavi membawa angin maksimum berterusan sekitar 140 kilometer sejam dan trend kekuatannya terus menunjukkan penurunan,” menurut kenyataan itu.

Bencana Alam Sabah menjelaskan, walaupun pusat taufan tidak dijangka memberi kesan secara langsung kepada Sabah dan Labuan, kesan tidak langsung masih boleh dirasai melalui pengukuhan Monsun Barat Daya, peningkatan aliran angin, pembentukan garis badai (squall line) serta potensi ribut petir di Laut China Selatan.

Menurut kenyataan itu, pembentukan ribut petir atau garis badai masih berpotensi berlaku di kawasan laut sebelum bergerak ke daratan, sekali gus boleh menyebabkan keadaan cuaca berubah secara mendadak di beberapa kawasan.

Sehubungan itu, orang ramai terutama nelayan, pengusaha bot dan komuniti yang tinggal di kawasan pesisir pantai dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca serta mengikuti maklumat terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.