KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesahkan tiada konsultasi rasmi dilaksanakan dengan Kerajaan Sabah berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Makanan (Pindaan) 2026, sebaliknya hanya mengadakan sesi libat urus bersama beberapa pegawai kementerian negeri.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, perkara itu dimaklumkan dalam taklimat kementerian pada Rabu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pematuhan proses penggubalan RUU berkenaan terhadap Perkara 79 dan Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, sesi libat urus bersama pegawai Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah tidak semestinya membuktikan Kerajaan Negeri telah dirundingi secara rasmi.
“Adakah mereka diberi mandat mewakili Kerajaan Negeri? Adakah draf RUU dikemukakan secara rasmi? Apakah pendirian Kerajaan Sabah yang telah direkodkan?” soalnya ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Madius berkata, perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan kesihatan awam, kebersihan dan pencegahan penyakit disenaraikan dalam Senarai Bersama di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, RUU berkenaan turut memperluas kawal selia terhadap bahan bersentuhan makanan, pensampelan, penyiasatan, pelabelan, pengimportan dan penalti yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan bidang kuasa Sabah dan Sarawak.
Beliau turut mempersoalkan tempoh hanya tiga hari antara Bacaan Pertama RUU pada 5 Oktober dan Bacaan Kedua pada 8 Oktober, khususnya berkaitan keperluan penyiaran serta prosedur di bawah Perkara 79 Perlembagaan Persekutuan.
“Keselamatan makanan memang penting, tetapi kepentingan sesuatu RUU tidak menghapuskan proses Perlembagaan.
“Keterdesakan tidak menghapuskan konsultasi; sebaliknya Perkara 79(2) menjadikan konsultasi di bawah Perkara 161E sebagai syarat bagi laluan keterdesakan,” katanya.
Sehubungan itu, Madius mencadangkan supaya RUU berkenaan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Dewan Rakyat melalui Peraturan Mesyuarat 54(2), sebelum diteruskan ke peringkat Jawatankuasa Seluruh Majlis dan Bacaan Ketiga.
Menurutnya, jawatankuasa itu perlu mendapatkan pandangan rasmi Kerajaan Sabah dan Sarawak, termasuk memanggil Peguam Besar Negeri serta wakil kerajaan negeri yang diberi mandat bagi meneliti aspek pematuhan Perlembagaan.
“Tuaran telah membawa cadangan ini kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof. Beliau sependapat bahawa RUU ini wajar dirujuk kepada JKPK Kesihatan,” katanya.
Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO menegaskan beliau tidak meminta RUU berkenaan ditolak, sebaliknya mahu proses penggubalannya diperbetul bagi memastikan keluhuran Perlembagaan Persekutuan terus dipelihara.
“Tuaran tidak meminta RUU ini ditolak. Tuaran meminta prosesnya diperbetulkan,” tegasnya.






