KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh kemudahan hospital dan menambah tenaga kerja kesihatan di Sabah menerusi peruntukan khusus dalam Belanjawan 2027 bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta akses rawatan kepada rakyat.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin berkata, peruntukan itu perlu merangkumi penambahbaikan kemudahan hospital dan klinik, penyediaan peralatan perubatan serta pakej insentif bagi menarik dan mengekalkan petugas kesihatan di negeri ini.
Beliau berkata, keperluan berkenaan semakin mendesak susulan kebimbangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) Kesihatan mengenai kadar tinggi pegawai perubatan yang tidak melapor diri bagi penempatan tetap di Sabah dan Sarawak.
“Sebagai Ahli Parlimen Kota Kinabalu, saya berharap Belanjawan 2027 akan menyediakan peruntukan khusus bagi memperkukuh perkhidmatan kesihatan di Sabah, terutamanya melalui penambahan tenaga kerja, penambahbaikan kemudahan serta peningkatan akses kepada rawatan,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.
Chan yang juga Timbalan Pengerusi DAP Sabah berkata, beliau menyokong cadangan Senator Dr RA Lingeshwaran supaya insentif, kemudahan penginapan dan pembangunan kerjaya petugas kesihatan di Sabah dan Sarawak ditambah baik.
Menurutnya, antara langkah yang perlu dilaksanakan ialah penyediaan kuarters dan perumahan mencukupi, elaun kesukaran, bantuan perpindahan serta peluang latihan kepakaran yang turut merangkumi jururawat, ahli farmasi dan kakitangan sokongan.
Dalam aspek infrastruktur, beliau mahu Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Queen Elizabeth II di Kota Kinabalu diberikan perhatian khusus memandangkan kedua-duanya berperanan menerima pesakit rujukan dari seluruh Sabah.
Katanya, akses perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar dan pedalaman juga perlu dipertingkat melalui pengukuhan hospital daerah, klinik kesihatan, bekalan perubatan, perkhidmatan kesihatan bergerak serta bantuan pengangkutan pesakit.
Chan turut mencadangkan lebih banyak peluang latihan, biasiswa dan laluan kepakaran disediakan kepada anak Sabah bagi membangunkan tenaga kerja kesihatan tempatan yang lebih stabil untuk jangka panjang.
Beliau berkata, setiap peruntukan perlu mengambil kira cabaran geografi Sabah, jarak perjalanan pesakit dan kos penyampaian perkhidmatan, selain disertakan garis masa pelaksanaan serta sasaran yang boleh diukur, termasuk pengisian kekosongan jawatan dan pengurangan tempoh menunggu rawatan.
“Harapan saya terhadap Belanjawan 2027 adalah jelas dan mudah, iaitu pesakit di Sabah mesti dapat merasai peningkatan sebenar dalam kualiti perkhidmatan kesihatan yang diterima, manakala petugas kesihatan pula diberikan sokongan sewajarnya untuk menjalankan tugas dengan berkesan,” katanya.






